Close

Jan 10, 2016

Politik anak-anak

Oleh : Dr Mohd Hafez Iftiqar Ahmad Termizi, Felo Sekolah KL (Budaya dan Falsafah Nusantara)

Sumber gambar: http://goo.gl/VjVknV

Sumber gambar: http://goo.gl/VjVknV

 

Tahun 1990 – saya masih mentah usia, tetapi apa yang saya tahu, di kampung saya cukup kecoh, malam itu penyokong parti pemerintah terpaksa keluar rumah dengan parang untuk mempertahankan pintu gerbang mereka daripada ditebang penyokong parti pembangkang.

 

Surau kecil saya berkurangan jemaah kerana kebiasaan yang menjadi imam surau itu ialah penyokong parti kerajaan. Kadang-kadang ada dua Jemaah, lihat siapa yang datang terlebih dahulu, yang lewat akan tunggu sampai jemaah parti yang datang awal habis sebelum memulakan solat Jemaah sendiri.

 

Ini pecah dan perintah politik waktu itu – imperialisme politik yang secara jelas membahagikan masyarakat kepada 2 kutub yang mustahil berjumpa, kalau bertembung akan menolak satu sama lain.

 

Dari sebuah kampung yang tidak mempunyai lampu isyarat, sekarang kampung saya mempunyai beberapa lampu isyarat. Malangnya, dalam tempoh yang panjang ini imperialisme politik ini masih tebal menjalar di Malaysia – ketaksuban yang menyebabkan masyarakat jadi seperti enau dalam belukar dan menang jadi arang kalah jadi abu.

 

Perbezaan di kalangan manusia itu sesuatu yang fitrah dan akan terus berlaku. Suatu pihak tidak mungkin akan bersetuju seratus peratus dengan pendapat suatu pihak yang lain.  Dalam konteks masyarakat majmuk, ada perkara yang boleh diasimilasi sebagai contoh bahasa kebangsaan dan ada perkara yang memerlukan toleransi seperti agama.

 

Malangnya di Malaysia, asimilasi dan toleransi ini masih gagal. Masyarakat memilih untuk hidup dalam prejudis. Lebih malang kalau yang menyubur bugarkan prejudis ini ialah politikus-politikus yang sepatutnya membaiki masyarakat. Seperti tikus yang membaiki labu, entah apa yang dibaikinya tetapi yang pasti labu jadi rosak binasa.

 

Asimilasi dan toleransi hanya boleh dicapai dengan memahami. Tidak hairanlah ‘faham’ itu menjadi rukun yang asas dalam merubah perjalanan sesebuah masyarakat. Budaya dialog perlu dimasyarakatkan.

 

Kemajmukan itu perlu diraikan bukan dimusuhi. Meraikan kemajmukan bukan bererti mengorbankan asas yang tetap dan pasti. Tidak ada kebebasan yang mutlak tanpa dipagari norma-norma yang dipersetujui bersama. Sekali lagi mencari norma yang dipersetujui bersama memerlukan kita memahami sesama kita.

 

Setiap kita perlu melihat diri sebagai pemimpin atau negarawan yang akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang telah kita lakukan. Kalau kita hanya merempuh tanpa hati-hati yang diperlukan seolah-olah berjalan di atas jalananan penuh duri dalam pekat malam, masyarakat ini tidak akan ke mana-mana. Kita akan terus hidup dengan prejudis dan tidak mustahil suatu ketika kita akan kembali berparang.

Share This